Shahrom Bin Md Yusof

May 9, 2015 1:42 am

BERJABAT TANGAN, BERPELUK, MENCIUM, BERDIRI & TUNDUK MENURUT SYARAK

oleh Ustaz Idris bin Sulaiman

Islam menuntut agar Umatnya saling berkasih sayang dan hormat menghormati sesama mereka. Antara cara memupuk kasih sayang dan menunjukkan tanda hormat sesama saudara seagama, Syarak menganjurkan supaya menyebarkan salam dalam setiap kesempatan ketika bertemu.

BERJABAT TANGAN

Di samping mengucapkan salam, Syarak menganjurkan supaya berjabat tangan. Sebagaimana sabda Rasulullah,

"Tidak ada dua orang Islam yang bertemu lalu mereka berjabat tangan melainkan diampunkan kedua mereka sebelum mereka berpisah" (Sahih. Riwayat Abu Daud)

Perlu diketahui bahawa memberi salam dan berjabat tangan adalah dua perkara yang berbeza. Orang yang berjabat tangan tidak dikatakan memberi salam kecuali jika dia mengucapkan salam dengan lidahnya.

Maka asasnya adalah mengucapkan salam. Adapun berjabat tangan, ia bergantung  kepada situasi dan keadaan.

BERPELUK KETIKA BERSUA

Adapun memeluk ketika bertemu, ia diharuskan lebih-lebih lagi dengan adanya athar para Sahabat yang berbuat demikian. Kata Anas bin Malik r.a.,

"Para Sahabat Nabi ketika bertemu mereka berjabat tangan, dan ketika tiba daripada perjalanan jauh (musafir) mereka berpeluk." (Hasan. Riwayat Al-Tabarani dalam Al-Awsat)    

HUKUM MENCIUM DAN MENCIUM TANGAN SECARA KHASNYA

Adapun mencium dan mencium tangan secara khasnya, dalam sebuah riwayat Anas bin Malik r.a. berkata,

Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Apakah seseorang kami ketika bertemu saudaranya atau rakannya, adakah dia tunduk untuknya? Jawab Nabi, "Tidak." Dia berkata: Apakah dia memeluknya dan menciumnya? Jawab Nabi, "Tidak." Dia bertanya lagi: Apakah dia mengambil tangannya dan menjabatnya? Jawab Nabi, "Ya." (Sahih. Riwayat Tirmizi)   

Hadis di atas jelas melarang perbuatan mencium ketika bertemu. Walau bagaimanapun, tentu sahaja mencium anak-anak dan isteri tidak termasuk dalam larangan ini sebagaimana zahirnya.

Adapun riwayat-riwayat lain yang seolah-olah bertembung dengan hadis Anas ini, jika ia sabit sekalipun hadis Anas tetap perlu didahulukan. Ini sebagaimana kaedah Usul Fekah yang menyatakan bahawa hadis kata-kata dan hadis larangan perlu didahulukan atas hadis perbuatan dan hadis yang mengharuskan.

Adapun mencium tangan secara khasnya, terdapat banyak riwayat  tentangnya yang menunjukkan bahawa ia ada asasnya dalam Agama. Maka dibolehkan mencium tangan para ulama dan pemimpin jika syarat-syarat berikut ditepati:

1. Ia tidak boleh dijadikan sebagai kebiasaan sehingga si guru menghulurkan tangannya setiap kali bertemu muridnya, manakala si murid pula mengambil berkat dengan mencium tangan si guru.

Para Sahabat  mungkin ada mencium tangan Nabi tetapi hal ini bukan suatu kebiasaan. Maka jika ini dapat difahami, sesuatu yang jarang dilakukan oleh Sahabat  tidak boleh dijadikan sebagai suatu amalan kebiasaan yang dilakukan secara berterusan sebagaimana dalam kaedah fekah.

2. Hendaklah perbuatan tersebut tidak mendorong si guru merasa takabbur dan memandang rendah orang di sekelilingnya; sebagaimana realiti keadaan sebahagian para guru.

3. Hendaklah amalan mencium tangan tidak sampai memansuhkan amalan yang telah ditetapkan oleh Syarak seperti berjabat tangan. Ia disyariatkan dengan perbuatan dan kata-kata Nabi. Bahkan Sunnah berjabat tangan menjadi sebab tergugurnya dosa-dosa kedua orang yang berjabat tangan itu. Maka berjabat tangan itu yang dianjurkan. Adapun mencium tangan, paling kuat ia adalah harus tetapi dengan syarat-syarat di atas.         

BERDIRI TANDA HORMAT

Dalam sebuah hadis, Jabir r.a. mengatakan, "Nabi mengadu sakit maka kami solat di belakang Baginda sedang Baginda duduk manakala Abu Bakar memperdengarkan takbir Baginda. Pada suatu ketika Baginda menoleh dan mendapati kami berdiri lalu Baginda memberi isyarat supaya kami duduk. Kami pun duduk solat di belakang Baginda. Setelah salam Baginda berkata:

"Kamu hampir melakukan apa yang dilakukan oleh orang-orang Parsi dan Rum. Mereka berdiri mengadap raja-raja mereka yang duduk. Jangan kamu lakukan. Ikutlah imam kamu. Jika dia solat berdiri maka solatlah kamu berdiri, dan jika dia solat duduk maka solatlah kamu dalam keadaan duduk." (Sahih. Riwayat Bukhari dalam Adab Al-Mufrad)

Hadis di atas merujuk kepada larangan makmum berdiri dalam keadaan imam di depan solat duduk. Nabi menyamakan perbuatan ini dengan perbuatan orang-orang kafir Parsi Rum yang berdiri hormat tatakala Raja mereka duduk di atas kerusi singgahsana. Walaupun para Sahabat tidak berniat untuk berdiri hormat kepada Rasulullah, tetapi memandangkan zahir perbuatan tersebut menyerupai perbuatan orang kafir yang menyembah raja mereka maka hal tersebut dilarang sama ada dalam solat atau di luar solat.

Bagaimana pula perbuatan berdiri tanda hormat tatkala seseorang itu tiba ke majlis? Cara terbaik untuk kita memahami hal ini adalah dengan melihat keadaan para Sahabat dengan Rasulullah.

Berkata Anas bin Malik, "Tidak ada manusia yang lebih mereka cintai daripada Rasulullah sallalahu alahi wasallam, dan mereka jika melihat Baginda (datang) mereka TIDAK BERDIRI kerana mengetahui Baginda membencinya" (Sahih. Riwayat Tirmizi)

Sebagai contoh teladan buat Umat, sewajarnya sikap Nabi benci orang berdiri ketika Baginda tiba dan praktik para Sahabat dalam hal ini menjadi pedoman buat kita. Tiada ruang untuk berdalih atau mencari alasan bagi mengharuskan perbuatan berdiri ini. Mengikut logik akal, Nabi adalah orang yang paling layak untuk para Sahabat berdiri sebagai tanda hormat dan sayang tetapi ternyata hukum-hakam Syarak adalah berpandukan wahyu dan bukan akal.

Sikap Nabi benci jika para Sahabat berdiri untuknya bukan kerana tawaduk semata-mata tetapi kerana ada ancaman yang keras dalam hal ini. Sabda Nabi,

"Barangsiapa yang gemar supaya hamba Allah berdiri untuknya maka hendaklah dia bersiap sedia akan tempatnya di neraka." (Sahih. Riwayat Bukhari dalam Adab Al-Mufrad)

Ternyata bahawa perbuatan berdiri sebagai tanda hormat kepada manusia dilarang Syarak; tak kira sama orang yang dihormati itu sedang duduk atau berdiri. Ini kerana perbuatan berdiri adalah ibadah dan tanda hormat serta pengagungan yang hanya boleh ditujukan kepada Allah. Sebagaimana firman Allah, "Berdirilah kamu (solat) dalam keadaan khusyuk" (Al-Baqarah, 238)

TUNDUK HORMAT

Jika hal berdiri hormat sudah jelas, maka perbuatan tunduk sudah tentu lebih berat dan lebih ditegah Syarak kerana hal tersebut jelas menunjukkan perbuatan menundukkan diri dan pengagungan kepada selain Allah.

Sebagaimana tegahan Nabi dalam hadis Anas sebelum ini ketika ditanya:

Apakah seseorang kami ketika bertemu saudaranya atau rakannya, adakah dia tunduk untuknya? Jawab Nabi, "Tidak."

Jawapan Nabi "Tidak" jelas menunjukkan larangan mutlak tanpa sebarang pengecualian. Barangkali boleh dikecualikan perbuatan tunduk untuk mencium tangan ibu bapa, guru atau para ulama. Kerana ‘tunduk' di sini adalah atas dasar terpaksa demi untuk mencium tangan. Apa yang dilarang adalah tunduk hormat.

RUKUK DAN SUJUD KEPADA MANUSIA

Adapun rukuk dan sujud, kedua posisi ini jelas jauh lebih berat. Firman Allah,

"Janganlah kamu sujud kepada matahari atau bulan (tetapi) sujudlah kepada Allah yang menciptakannya." (Fussilat, 37)

Juga firman Allah,

"Wahai orang yang beriman, rukuk dan sujudlah dan sembahlah Tuhan kamu" (Al-Hajj, 77)

Kedua ayat di atas adalah suruhan supaya hanya rukuk dan sujud kepada Allah. Ini  kerana keduanya adalah bentuk posisi sembahan, dan menyembah hanya boleh ditujukan kepada Allah.

Adapun golongan yang sampai sujud kepada guru mereka walaupun atas alasan ingin mencium kakinya, perbuatan ini jelas salah dan mealnggar batas-batas Syarak.

Benar, menghormati guru adalah satu tuntutan. Tetapi buktikan dahulu dengan hadis sahih dan sanad yang bersambung bahawa ia diperakui oleh Nabi dengan amalan Sahabat.

Jika Nabi dan para Sahabat tidak pernah membiarkan orang mencium kaki mereka, guru jenis mana pula yang akan membiarkan muridnya mencium kakinya?

Kajang 012-3860471 idrissulaiman@yahoo.com www.ustazidrissulaiman.com